Thursday, September 23, 2010

Jangan Biarkan 'Perasaan' membunuh 'Perasaan'


~ Hanya sekadar kisah ~

Ini kisah yang berlaku antara aku dan seseorang. Lelaki atau perempuan bukanlah persoalan kerana definisi perhubungan itu sendiri luas maknanya. Mungkin persahabatan, kekeluargaan atau perhubungan antara lelaki & wanita. Apa yang lebih penting yang ingin aku sampaikan, cuma mengharap pengalaman ini dapat memberi rakan-rakan sedikit panduan kelak.


Masalah timbul dalam perhubungan ini apabila perbezaan pendirian dan keegoaan masing-masing menjadi kayu ukuran menilai dan menafsir maksud kata 'perhubungan'. Aku menilai dan mendekatinya berdasarkan pendirianku yang lain dari norma biasa, namun Dia menilainya dari pendiriannya yang mungkin juga lain dari orang biasa. Akhir kata, apabila dua daya yang berbeza bertembung, seperti api dan air yang bercampur, akan ada satu pihak yang sengsara dan satu pihak yang gembira, atau lebih teruk lagi, jika kedua-duanya merasa duka dan sengsara yang sama. Entahla... sampai sekarang aku masih merenung kembali tindakanku.

Namun kerana perasaan ego yang menggunung tinggi, perasaan kemaafan dan pertimbangan di letak jauh dari sudut hati. Dengan harapan, tidak akan ia menjengah lagi. Mungkin masing-masing seolah berharap agar ianya tidak pernah berlaku. Tambah buruk dengan ‘gangguan’ luar yang memburukkan keadaan seolah-olah tiada apa lagi untuk dipertahankan. Cuba memadamkan memori buruk ini tanpa cuba mengambil hikmah yang ingin Tuhan sampaikan. Ya, kadang-kadang aku kesal dengan diri sendiri kerana seolah-olah aku meragui dan tidak percaya dengan takdir Tuhan. Astagfirullahulazim…

Sampai sekarang, aku tidak mampu membenci dan membuangnya dalam hidupku. Namun mungkin baginya ini adalah seratus peratus salahku, aku yang harus menerima akibatnya. Dan, sehingga kini, masih tidak hilang rasa bersalah dari diri ini,setiap hari hati kecilku bertanya, 'Apa salahku?', begitulah persoalan yang kerap kali menghantui dan bermain-main di mindaku sehingga aku hampir-hampir hilang 'perasaan' lantaran tindakanku dan pendirianku dalam menjaga suatu ‘perhubungan’.

Pesanku kepada sahabatku sekalian khususnya diri ini dan dirinya, "Kita mungkin boleh berkata kita memahami tapi ianya tidak akan sama sampai masa kita 'mengalami’, jangan kerana berbeza pendirian dan terlalu ikutkan perasaan, kita abaikan kehormatan dan 'perasaan', melupakan tujuan dan harapan, semuanya kerana perasaan"